Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

September 5, 2013

Ramadhani VS Rahmani

Bismillahirrahmanirrahim...

Nak berkongsi sesuatu. Pernah tak dengar tentang Ramadhani vs Rahmani? Masa bulan puasa hari tu isu ini agak hangat dibangkitkan. Pesan-pesanan para ustaz dan ustazah tentang ibadah kita di bulan Ramadhan. Kata-katanya lebih kurang berbunyi begini, "Jadilah kita hamba Rahmani, bukan Ramadhani"

Allahuakbar.

Kadang-kadang, terutamanya saya tahu akan quote yang digembar-gemburkan oleh para asatizah ini, tapi kita tidak memahami dengan sebaiknya. Semalam terfikir sesuatu selepas buka puasa (puasa Syawal aku ada lagi berbaki 1 hari lagi esok insyaAllah), semasa dalam perjalanan nak balik rumah. Tiba-tiba throwback masa waktu berbuka Maghrib tadi. Perasan tak kalau kita berbuka, kita akan immediately masukkan makanan dalam mulut untuk batalkan puasa? Kenapa? Sebab ada hadis Rasulullah SAW yang galakkan kita berbuka puasa di awal waktu rite? Ianya juga salah satu sunnah ketika berpuasa kan? 

Sabda Nabi saw: Tidak akan hilang kebaikan daripada umat ku selagi mana mereka mengawalkan waktu berbuka puasa. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 Alhamdulillah, kita ada kesedaran yang ianya sebagai sunnah. Yang kita faham ianya makanan untuk jasad kita. Kalau tak makan kita akan lapar. Tapi bagaimana dengan rohani kita? Kenapa bagi 'makan' lambat?  Kenapa kita tak solat di awal waktu seawal kita berbuka puasa? Astaghfirullahal'azim. Kalau dengar azan tu buat-buat tak dengar je. Kalau dengar azan di TV pula terus tukar channel. Cari channel yang tak ada iklan, atau cerita-cerita yang lebih menarik, mungkin? Kalau dah setting waktu solat dalam henpon, tiba-tiba kita jadi segan bila henpon kita melaungkan azan di tengah-tengah orang ramai. Eh kejap, kenapa nak segan? (encik gabbana, 2013) Atau pun biarkan je laungan azan itu tanpa bersambut dengan kata-kata atau lebih teruk lagi dengan tindakan. Tidak ada tindakan langsung dari kita. Padahal ianya seruan Allah. Hayya 'alas solahhh, Hayya 'alal falahhhh.. Ya Allahh saya sedih sangat dengan diri saya. 
Jom kita baiki sama-sama jom. Kalau kita tahu yang solat tu adalah makanan hati/rohani yang tengah kelaparan/kehausan, kita mesti berkejaran nak ke musolla di tempat kerja kita. Pastu ramai orang beratur panjang nak ambil wudhuk. Pastu musolla dalam shopping kompleks jadi sesak ila tiba waktu solat sebab semua orang tengah lapar dan haus makanan rohani. 
Kesimpulan: Kita selalu menjaga ibadah kita, solat diawal waktu contohnya atau beribadah berganda-ganda ketika bulan puasa sahaja. Inilah yang dikatakan sebagai hamba Ramadhani (dalam bahasa arab imbuhan 'i' dibelakang setiap perkataan bermaksud 'kepunyaan'). Hanya kerana Ramadhan kita beribadah bersungguh-sungguh. Mungkin juga kita berniat dengan niat kerana Allah, tapi jika kita faham betul-betul kita beribadah semata-mata kerana Allah, bagaimana pula dengan bulan-bulan lain dalam kalendar islam? Jika kita hamba Allah, dan benar-benar beribadah kerana Allah, ayuh kita beribadahlah sebanyaknya di bulan-bulan lain juga. Jadilah kita hamba kepada Rahmani ( Rahman adalah salah satu nama Allah diantara 99 namaNya)
Jom utamakan solat dalam kehidupan seharian kita!


Nota kaki: Saya ada terfikirkan sesuatu tentang solat di awal waktu. Awal waktu tu seawal yang bagaimana? Ini mungkin tips untuk kita ukur keawalan waktu kita untuk solat. Kita bayangkan bagaimana kita solat berjemaah di masjid-masjid yang jemaahnya sentiasa ada setiap waktu solat. Ok dah? Ok kalau kita tertinggal nak solat berjemaah dengan imam, ha maksudnya kita dah dianggap lewat la tu. Ini hanya pandangan saya sahaja la. Mungkin kita boleh fleksibel kan dengan keadaan kita seperti sedang bermusafir etc. 
Nota kaki 2: Bila cerita ttg solat teringat pada seorang junior saya, "Jangan risau, kalau kita jaga solat, 'solat' tu akan jaga kita balik" ---> penjelasan: kalau kita sentiasa jaga masa solat kita, insyaAllah kita tidak akan tertinggal solat dengan mudah, contohnya kita terlupa, kebarangkalian untuk kita terlupa tu rendah sangat atau kita tertidur, automatik bila tiba waktu solat kita akan terjaga terutamanya waktu subuh. 
Nota kaki akhir (seriously last): Setiap hamba akan diuji dengan apa yang telah dikatakan olehnya. Jadi aku juga akan di uji sekejap lagi, once post ini di publish. Mohon doa rakan-rakan yang membaca supaya aku dan kita mampu hadapi ujian ini, terutamanya ujian nafsu. Bak kata orang putih "Walk the Talk". Ianya sukar  untuk dilaksanakan, tapi lebih sukar untuk kita istiqamah dengan kebaikan yang kita lakukan. Semoga kita sama-sama kuat. Semoga ujian yang kita hadapi akan menambahkan lagi keimanan kita.

Nusajaya
05092013

November 3, 2012

Doa untuk Hati (T__T)

"Ya Muqollibal qulub tsabbit qolbi 'ala deenik"

"Wahai dzat yang membolak balikkan hati, teguhkan hati kami diatas agamaMu"



"Rabbana la tuzighqulubana ba'da idh hadaitana wa hab lana min ladun-ka rahmah, innaka antal Wahhab.


"(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya." (3:8)


Semoga Allah kuatkan hati-hati kita.
Semoga bermanfaat.

October 10, 2012

Alhamdulillah tsummalhamdulillah..

Alhamdulillah tsummalhamdulillah..

Bismillah...
Apabila kita mendapat nikmat, ucapkanlah Alhamdulillah.
Juga apabila mendapat kesusahan atau ujian.
Belajarlah untuk ucapkan alhamdulillah ketika ditimpa musibah.
InsyaAllah kesusahan dan ujian itu senang je nak hadapi.

Kenapa dah 'Alhamdulillah' ada 'tsummalhamdulillah' pulak?

Sebab nak rasa lebih-lebih syukur lagi. Idea penggunaan perkataan 'tsummal' datang dari ayat indah lagi ohsem dari Allah sendiri dalam Al-quran. Pengulangan tujuan untuk penegasan. Contoh ayat,

Kalla saya'lamun tsummakalla saya'lamun.
Jangan! (Janganlah mereka bersikap demikian!) Mereka akan mengetahui (dengan yakin tentang kebenaran hari balasan itu). Sekali lagi jangan! (Janganlah mereka berselisihan!) Mereka akan mengetahui kelak (tentang apa yang akan menimpa mereka).
[78:5-6]

Perkataan sekali lagi adalah pegulangan perkataan untuk tujuan penegasan.
Semoga bermanfaat untuk semua =)


notakaki: melegakan perasaan sendiri. ironinya, semua masalah perlu dihadapi. bi iznillah. =)) *senyum tak berapa nak lebar.

April 1, 2012

Konvensyen Bidadari Dunia #1

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum wbt

*rasa kekok nak mulakan menulis semula sebab dah lama tinggal. hati berbolak balik. dah lama pendam. tapi sampai bila ye tak?..jadi ayuh mulakan langkah walaupun langkahmu agak tempang. Biiznillah! =)

* tajuk post ni dah lama simpan dalam draft. sejak balik dari konvensyen tempoh hari. ayuh kita mulakan!

Bismillahirrahmanirrahim (lagi sekali ulang..nampak sangat kalut kan.hmm)

Alhamdulillah telah selesai Konvensyen Bidadari Dunia (KBD) di PICC yang dianjurkan oleh ILuvIslam.com. InsyaAllah saya berhajat untuk berkongsi dengan anda semua ilmu yang saya dapat dari konvensyen tersebut. InsyaAllah. walaupun tidak banyak tapi saya cuba sedaya saya untuk kongsikan supaya saya tidak lupa dengan ilmu yang saya dapat sepanjang konvensyen ini berlangsung.

Pada mulanya tidak terlintas langsung untuk berkongsi disini tentang konvensyen. Tapi, alhamdulillah salah seorang penceramah yang hadir ke KBD ni ada berkongsi pengalaman yang beliau peroleh tidak lama sebelum beliau hadir ke KBD. dan beliau nyatakan tujuan dia berkongsi pengalamannya adalah supaya dia tidak terlupa dengan ilmu yang dia dapat. Wahh..saya sungguh teruja dengan kata katanya dan terlintas difikiran saya "Eh, aku pun boleh berkongsi ilmu dalam blog, supaya ilmu yang aku dapat tidak akan terus hilang tanpa dikesan". dan peristiwa inilah pencetus saya untuk menulis di sini.

Baiklah, kita mulakan dengan hari pertama KBD. Sebelum terlupa, saya hadir ke KBD bersama 2 orang lagi insan kesayangan. Kakak kakak saya turut menjadi peserta konvensyen ni. Alhamdulillah, pendaftaran pada pagi itu berjalan dengan lancar. Selepas kami mendaftar dan dalam perjalanan ke dewan konvensyen, kami terserempak dengan CEO merangkap Co-Founder ILuvIslam.com iaitu Tuan Imran Koyube! Wahh..saya sangat teruja dapat melihat secara 'hidup' CEO ILI ni. Tapi keterujaan itu dapat saya kawal. Alhamdulillah. =)

Majlis bermula dengan ucapan pengarah program dan seterusnya ucapan perasmian oleh Saudara Imran Koyube sendiri. Beliau memang hebat! Di usianya baru mencecah 25 tahun, beliau sudah memegang jawatan yang hebat. Juga sumbangannya kepada masyarakat islam khususnya memang sangat layak dipuji!..Tetapi alhamdulillah Allah kurniakan sifat rendah hati dan kesungguhan dalam diri beliau. Usahanya yang kita masyarakat islam biasa di Malaysia ini sebagai satu sumbangan yang besar, tetapi beliau menagtakan ianya hanyalah usaha usaha kecilnya sahaja. Subhanallah..murahkan rezeki beliau ya Allah..permudahkan urusannya, Semoga usahanya menjadi pencetus kepada kami untuk terus bersemangat di jalanMu ini ya Allah.
Saya sempat juga merakamkan di kepala otak kata-katanya yang menarik:

"Rahsia orang yang berjaya dengan cemerlang adalah denganmemaafkan semua orang sebelum dia tidur"

"Cintailah Allah pasti seluruh dunia akan mencintaimu"

*Bersambung..nantikan entri seterusnya. InsyaAllah. =)


January 8, 2012

Tingkatkan khusyuk dlm solat. ayuh!

Repost from blog seorang teman blogger.

sangat menarik!
sama2 kita fahami dan tingkatkan khusyuk dlm solat.
ayuh!

Sempena hari jumaat pertama dalam 2012 ini, mari sama-sama kita belajar maksud bacaan dalam solat yang kita buat 5 kali sehari. Mana yang tidak tahu, ini masanya kita belajar dan moga dengan terjemahan ini akan membuat solat kita lebih khusyuk. Insyaallah.


1. Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha Suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.


2. Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepadan mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.


3. Bacaan ketika rukuk
Maha Suci Tuhanku yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.


4. Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya


5. Bacaan ketika i'tidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian


6. Bacaan ketika sujud
Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya


7. Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, kayakan aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, berilah aku hidayah, sihatkanlah aku dan maafkanlah aku.


8. Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan dan berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatanNya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

9. Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan dan berkat solat yang baik adalah untuk Allah.Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatanNya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Muhammad itu pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan ke atas kelurga beliau. Berkatilah ke atas Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan keluarganya di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

10. Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjukkan. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah apa-apa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Yang memberi berkat, Ya Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya.



sekian sahaja, Assalamualaikum.

November 24, 2011

Tenang

Repost blog from Majlis Ulama ISMA

Soalan:
Saya ingin bertanya ttg tafsiran ayat yg bermaksud "hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang"

Jawapan:
Apabila dirujuk kepada pentafsiran ulama tentang ayat:
Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat
Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.
(al-Ra`d:28)

Al-Mawardi mentafsirkan “zikrullah” dengan maksud ketaatan, balasan dan janji Allah SWT.
Sementara Ibn Asyur mengatakan “zikrullah” bermaksud perasaan takut dan menjaga diri dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan. Ia juga bermaksud al-Quran dan zikir dengan lidah.

Ringkasnya, “zikrullah” bermaksud kita menguatkan hubungan dengan Allah SWT dengan tunduk dan patuh kepada agamaNya dan pengertiannya tidak tertumpu hanya kepada maksud zikir dengan lidah sahaja.

Boleh dikatakan, kebanyakan manusia yang mengalami tekanan jiwa atau sakit jiwa disebabkan hubungan mereka dengan Allah SWT amat jauh. Oleh kerana itu umat Islam jarang sekali yang menghadapi tekanan jiwa, sebagaimana yang berlaku kepada umat manusia moden hari ini, kecuali gaya hidup umat Islam tidak jauh bezanya dengan orang bukan Islam. Allah SWT berfirman:

Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada).
Ibnu Abbas mengatakan kalimah “sakinah” dalam al-Quran ditafsirkan dengan “tama’ninah” (ketenangan ).

Tabiat atau fitrah jiwa manusia akan merasai ketenangan:
  • Ketika ia bergantung dan berhubung dengan kuasa yang Maha Agung Allah SWT.
  • Ketika ia mengetahui kehidupan di dunia untuk menikmati nikmat Allah SWT
  • Ketika ia meyakini ia akan kembali selepas kematian bertemu dengan Penciptanya
  • Ketika ia meyakini kerugian mengikut kacamata dunia akan diganti pada hari akhirat
  • Ketika ia mengetahui Allah SWT akan menolongnya dalam setiap situasi, sama ada kesenangan bagi menambahkan kebaikan atau kesusahan untuk menyelamatkannya.

Allah SWT berfirman:
Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan
penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta
rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan
rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya
itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". (Yunus 57)
Wallahu a`lam….

Rujukan:
Tafsir al-Qurtubi
Tafsir al-Mawardi, Ibnu Asyur
Al-Maktabah al-Shamilah
Islamonline.

September 20, 2011

Syarat Menjadi Isteri Solehah


repost from Akhawatul Muslimah TPP


Menjadi wanita solehah akhir zaman ini satu perkara yang tidak mudah, tetapi ia bukan satu yang mustahil.
Untuk menjadi isteri yang soleh, seorang mesti ada tujuh syaratnya :-

1. Mesti ada hidayah dari Allah
Hidayah merupakan anugerah Allah. Sekali pun seorang yang duduk di samping suami yang soleh, jika tidak ada hidayah maka seorang itu tidak akan menjadi orang yang baik. Jika seorang itu diberi hidayah oleh Allah, sekalipun dia duduk di samping suami yang jahat, dia tetap baik seperti Siti Asiah. Di dalam al-Quran Allah telah menceritakan hal ini [2]:-

Allah membuat isteri Nuh dan isteri Luth sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang saleh di antara hamba-hamba Kami; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada suaminya (masing-masing), maka suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah; dan dikatakan (kepada keduanya): "Masuklah ke dalam jahannam bersama orang-orang yang masuk (jahannam)".


2. Mesti ada niat untuk menjadi isteri yang solehah
Niat memainkan peranan yang penting di dalam menjadikan seeorang itu baik atau tidak. Jika seorang itu tidak pernah berniat menjadi baik, maka dia tidak akan dapat merubah dirinya ke arah yang lebih baik. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan bahawa :-[3]
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri

3. Mesti taat kepada suami
Mentaati suami merupakan perkara yang wajib selagi tidak melanggar syariat Allah. Di dala hadith Rasullullah S.A.W telah menyatakan [4]

Dari Ibnu Umar R.A dari Nabi S.A.W dia telah berkata, mendengar dan taat adalah hak (yang perlu ditunaikan) selagi tidak diperintahkan untuk maksiat, apabila telah disuruh kepada maksiat maka tiada lagi hak mendengar dan taat


4. Mesti ada sifat-sifat isteri yang solehah
Isteri yang soleh mempunyai sifat-sifat keibuan walaupun terhadap suami. Ia membelai, mendengar, menghargai dan berada di sisinya seolah-olah telah cukup segala yang ada. Rasullullah menggambarkan keadaan isteri yang sebegini dengan hadithnya yang berbunyi :[5]-


Dari Abdullah bin Amru bahawa Rasullullah S.A.W telah bersabda, dunia itu merupakan perkara yang menyejukkan, dan sebaik-baik perkara yang menyejukkan adalah perempuan yang solehah


5. Mesti ada amalan-amalan isteri yang solehah
Isteri yang solehah akan membuat perkara-perkara yang menyenangkan suaminya. Di dalam satu haditu Rasullullah S.A.W telah bersabda [6] :-


Dari Abi Ummah dari Nabi S.A.W bahawasanya baginda bersabda, tiada perkara yang paling menyenangkan bagi seorang mukmin selepas taqwa yang lebih baik dari seorang isteri yang solehah. Jika dia menyuruhnya isteri itu akan mentaatinya jika dilihat padanya maka isterinya itu amat menyenangkannya dan jika dia memberi isterinya itu akan menghargai dan jika dia tiada isterinya itu akan menjaga diri dan hartanya.


6. Mesti meletakkan Allah s.w.t dan Rasul sebagai sebagai cinta pertama
Perkara ini perlu kerana jika seseorang mencintai suaminya lebih, jika tiba-tiba suaminya itu berbuat sesuatu kesalahan atau kekurangan, maka dia boleh melawan dan derhaka kepada suaminya itu, sedangkan dia taatkan suami bukan kerana suami tetapi kerana Allah yang menyuruhnya. Banyak orang yang menderhakai suami di atas alasan jahatnya suami.
Yang kita mahu adalah keredhaan Allah. Oleh yang demikian kita taat suami kerana mahukan kasih sayang Allah, nanti Allah akan anugerahkan kasih sayang suami itu sampai akhirat. Di dalam al-Quran Allah ada menyatakan [7]:-


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani


7. Berdoa
Hidup kita tidak boleh lekang dengan doa. Kepentingan doa menjadi orang yang baik amat perlu. Ia perlu dipohon setiap hari. Oleh kerana pentingnya doa ini, Allah telah mewajibkan kita membaca satu doa setiap kali kita bersembahyang. Jika kita tidak membaca doa ini, maka tidak sah sembahyang kita. Doa itu berbunyi :-[8]

Tunjukilah kami jalan yang lurus

Oleh yang demikian, untuk menjadi isteri yang solehah, seorang isteri itu perlu mendoakan dirinya. Bagi seorang suami pula, mereka perlulah mendoakan isteri mereka agar menjadi isteri yang solehah.
Jika orang tua-tua kita pernah berkata, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, maka saya ingin menambah, sayangkan isteri doa-doakan.
Ini kerana, doa suami akan membantu perubahan diri isteri dalam usaha mereka untuk menjadi isteri yang solehah.


[1] hadith riwayat Muslim
[2] Surah at-Tahrim ayat 10
[3] Surah ar-Ra’du ayat 11
[4] Hadith riwayat al-Bukhari
[5] Hadith riwayat Muslim
[6] Hadith riwayat Ibnu Majah
[7] Surah Ali-Imran ayat 31
[8] Surah al-fatihah ayat 6

September 4, 2011

Manisnya menundukkan pandangan.


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum



‘ Sedapnya makanan di sini’.  Kita memuji sambil menyuapkan nasi ke mulut. Persekitaran yang bersih dan nyaman menambahkan lagi keselesaan kita menjamu selera.  Bukan itu sahaja, terdapat perkara yang lebih utama menyebabkan kita dapat menikmati kelazatan sesuatu makanan.  Iya! Badan yang sihat dan lidah tiada masalah. 
Begitulah perumpamaan kalau kita punya hati yang sihat.  Bersih pula.  Sudah tentu apa sahaja perintah dan larangan Allah dapat dirasai kelazatan melaksanakannya.  Hati yang sihat dapat merasakan manisnya iman. Indahnya taqwa.  Berdebar-debar hati tatkala disebut nama Allah.  Itulah tanda cinta.  Selagi kita tidak merasakan demikian, percayalah bahawa jiwa kita sedang sakit.  Apatah lagi apabila mendengar suruhan dan larangan Allah, hati memberontak.  “Susahlah…”.  ‘Malaslah…’  Itu simpton hati kita yang sudah dijangkiti virus.   
Bila badan tidak sihat, sudah tentu kita akan mencari ubatnya.  Ubatnya pula mesti sesuai dengan jenis penyakit.  Tersilap ubat, menambahkan lagi penyakit.  Tak pun… terus KO!.  Na’uzubillah.  Begitu juga hati kita.  Kenal pasti dulu penyakitnya.  Kemudian baru dapatkan kaedah rawatan dan ubat yang sesuai. Sebagai contoh;  Kita punya penyakit kedekut.  Kita pun mulalah bangun tahajjud setiap malam untuk membuang penyakit tersebut. Sedangkan kita tidak pula cuba-cuba ‘transfer’ akaun kepada individu atau badan yang memerlukannya.  Natijahnya penyakit kedekut kekal melarat pada diri kita.  
 Ambil cara mudah, kalau kita ternampak iklan mohon derma atau datang si fakir meminta sedekah, hulurkan sahaja apa yang ada di tangan.  Mula-mula memang kena paksa dulu.  Alah bisa tegal biasa.   
Penyakit Seks 
Akhir-akhir ini, kita sering dihadapkan dengan masalah dan penyakit berkait zina.  Dari sekecil-kecil skandal seperti yang menimpa orang awam (kena tangkap khalwat) hinggalah sebesar-besarnya (dapat VCD percuma aksi seks menteri).  Hebat.  Memang cukup hebat.  Kalau dulu terpaksa cari secara sembunyi-sembunyi pita video atau VCD lucah.  Hari ini diberi percuma tanpa diminta.  Kalau dulu hanya pelacur kelas bawahan yang berlakon (?) aksi seks. Hari ini profesional bertaraf menteri pun mahu merasa kerjaya yang jelik itu. Belum lagi dikira acara bebas melayarinya di internet.  
 Islam mempunyai kaedah  ‘mencegah lebih baik dari berubat’.  Justeru dalam merawat penyakit zina ini, Islam menganjurkan ummatnya lelaki dan wanita supaya menundukkan pandangan.  Menundukkan pandangan bukan bererti menundukkan kepala sehingga berjalan terlanggar tiang! 
   Allah perintahkan kita melalui ayat 30 surah an-Nur,
‘Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.’ 
Ayat seterusnya yakni ayat 30 surah yang sama menitahkan pula kepada kaum wanita,‘
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka serta janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya’ 
Allah perintahkan kaum lelaki dahulu supaya menjaga pandangan.  Kemudian barulah diperintahkan kaum wanita supaya memelihara pandangan mereka serta menutup aurat.  Ia membuktikan bahawa lelaki sebenarnya mampu mengawal pandangan mereka walaupun terdapat wanita yang tidak menutup aurat di hadapannya.  Allah tidak membebankan hambaNya dengan perkara yang tidak mampu dilakukan.  Selebihnya bergantung pada hati kita sendiri, mahu atau tidak.   
Menundukkan pandangan ialah mengalihkan pandangan daripada melihat perkara yang diharamkan Allah.  Lagi pula, seperkara yang kita perlu sedari mata kita bukan milik kita.  Pinjaman sahaja dari Allah.  Ibarat kita meminjam barang orang.  Bolehkah kita menggunanya sesuka hati kita?. Selepas pinjam, kita hantar sambil mengucapkan terima kasih.  Begitu juga dengan mata. Kita guna ikut cara yang diredai Allah.  Itu tanda terima kasih kita sebagai peminjam.  Sampai masanya, kita terpaksa pulangkan semula nikmat tersebut.  Sama ada di dunia lagi seperti menjadi buta (minta dijauhkan Allah) atau setelah hayat berpindah ke alam barzakh. 
Pintu masuk kepada ‘kawah api’ zina ini bermula dari pandangan.  Dari mata jatuh ke hati.  Sebab itu Rasulullah menegah kita mengulangi pandangan pada tempat yang diharamkan.  Haram bererti ‘penyakit’ atau dosa.  Kalau pun kita merasa ‘lazat’ pandangan tersebut… hakikatnya ia adalah simpton bahawa hati kita sedang sakit.  Keseronokan syahwat bersifat sementara dan mengundang pelbagai bala.  Bala pertama ialah hilang ketenangan jiwa.   Hati yang sihat secara automatik menolak perkara-perkara jelik dan hina.  Tiada rasa ‘syok’ atau ‘best’.  Sebaliknya merasa benci, loya atau mual.  Seperti kata Tok Guru Nik Abdul Aziz suatu ketika dahulu (lebih kurang beginilah bunyinya),  
‘ Perempuan yang keluar tidak menutup aurat dan berhias-hias tidak menurut syarak hakikatnya iblis.’ 
Jangan salah sangka pula.  Kata-kata di atas hanya perumpamaan Tuan Guru yang bersifat ‘mursyid’ dan ‘murabbi’ agar kita tidak merasa seronok melihat perkara yang diharamkan.  Bayangkan disebalik wajah dan bodi yang tidak menutup aurat itu, iblis sedang menjelirkan lidahnya menyorak kebodohan kita mengenepikan larangan Allah.  Manusia hanya alat iblis untuk melalaikan kita dari mengingati Allah dan mengabdikan diri kepadaNya. 
  Allah yang mencipta kita mengetahui dan sangat memahami kegemaran kita.  Justeru Dia menjanjikan nikmat atau kelazatan yang jauh lebih umph! Allah menyebut dalam ayat 40 dan 41 surah al-Naa’ziaat, ‘  Sesiapa yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya. Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya.’ 
Di syurga itu ada bidadari.  Kalau kita diperlihatkan dengan seorang sahaja dari bidadari itu, nescaya semua perempuan di dunia ini kelihatan hodoh belaka. Yang cantik hanya perempuan solehah.  Hanya perempuan beriman dapat mengalahkan kecantikan bidadari syurga.  Fikir-fikirkan…
Berikut adalah kelazatan, kenikmatan, keseronokan, keindahan, kemanisan akibat menundukkan pandangan;
  1. Menunjukkan bahawa seseorang patuh pada perintah Allah.  Akibatnya dia dapat merasa puncak kebahagiaan seorang hamba di dunia dan di akhirat.   Allah akan mengganti keseronokan syahwat dengan ketenangan jiwa, kesenangan dan kegembiraan hati yang sangat lazat.
  2. Dapat menangkis anak panah berapi syaitan dan sangat beracun, yang mana semuanya mengakibatkan kemusnahan moral manusia.
  3. Dapat menghiasi hati dengan cahaya serta melenyapkan kegelapan pada wajah dan anggota badan.
  4. Menyuci hati dari akibat sedih.  Orang yang tidak mahu menundukkan pandangan di dunia akan kekallah dia dalam kesedihan.
  5. Mewariskan firasat yang sihat dan benar yang dapat membezakan antara yang baik dan buruk.
  6. Membuka pintu pengetahuan, iman dan makrifat kepada Allah serta peraturanNya.
  7. Mewariskan keteguhan hati dan keberanian.
  8. Menyucikan hati dari syahwat yang tersembunyi.  Seterusnya menawan nafsu untuk disalurkan pada tempat yang betul dan diredai Allah.
  9. Membebaskan hati dan minda dari berangan-angan tinggi.
  10. Menguatkan dan meningkatkan daya berfikir.  Seterusnya mewarisi sikap waspada terhadap akibat buruk yang akan berlaku dalam setiap tindakan.
  11. Mengurangkan sikap lalai.  Sekaligus dapat meningkatkan hubungan dengan Allah dan cintakan kampung akhirat.